Lazimnya, ruang tamu itu luas terbentang sebelum ini.
Sesak nafas.
Payah betul untuk melangkah masuk ke pintu hadapan.
Kedengaran bacaan ayat-ayat suci Illahi, dari jauh lagi.
Dan di tengah-tengah kamar itu, terkulainya sekujur tubuh.
Sekujur tubuh yang tidak bernyawa lagi.
Di tepinya, kelihatan seorang kanak-kanak perempuan.
9 tahun. masih muda lagi.
Tangisan kecilnya menyentuh hati.
Abang di sebelahnya, 11 tahun barangkali.
Turut berkongsi kepedihan di hati.
Kakak-kakak pula mengelilingi tubuh yang diam tidak begerak itu.
Empat kakak semuanya.
Ada yang masih di bangku sekolah.
Ada yang sudah melanjutkan pelajaran di universiti.
Sayu.
Si suami masuk ke dalam kamar.
Menadah tangan untuk bacaan doa kepada isteri tersayang.
Sepatah-patah perkataan diukir dengan penuh khusyuk.
Makin lama doa dibaca, makin kuat tangisan hadirin yang menjadi pemerhati.
Tiga empat pelajar beruniform, datang hampir dengan jenazah.
Kemungkinan besar anak-anak yang arwah selalu hantar ke sekolah.
Arwah disayangi ramai.
Buktinya, rumah itu dibanjiri orang ramai.
Siapa sangka, perbualan curi yang aku dengar,
dari pakcik-pakcik di masjid subuh pagi itu,
sedang berbicara tentang pengurusan jenazah orang yang aku kenali.
Ajal itu, datangnya tanpa amaran,
tanpa penyebab yang gah,
Walaupun beberapa orang makcik di sudut kecil,
berbicara tentang penyebab kematiannya,
Tiada konklusi yang lebih tepat selain dari
"Ajalnya sudah tiba"
Al-Fatihah kepada Allahyarham Hajah Maksu Noraya.
Semoga keluarga terdekat tabah menghadapi kehilangan beliau pada bulan ramadhan mulia ini. Semoga Allahyarham ditempatkan bersama roh org2 yang beriman.
Untungnya allahyarham bertemu dengan kekasihnya, pada bulan penuh keberkatan ini.
Beberapa tahun akan datang,
Memori yang terselit di ruang minda ini,
Akan mekar sekiranya terlihat akan baju kurung terakhir yang dijahit oleh arwah.
Apabila seorang anak Adam meninggal dunia,
maka terputuslah amalannya kecuali melalui tiga sumber;
sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang berdoa untuknya.
maka terputuslah amalannya kecuali melalui tiga sumber;
sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang berdoa untuknya.
p/s: teringat perbualan bersama salah seorang rakan apabila baru kehilangan abahnya yang tersayang, "Siasat lah macam mana punca kematian, tapi kalau ajal dah sampai, apa yang kita boleh buat ialah redha dgn kehendak-Nya, dan doakan semua urusan jenazah selamat sampai kesudahnya. Urusan mereka sudah selesai. Kita yang masih hidup, kesudahannya pula bagaimana?"
semoga Allah melimpahkan rahmat kepada allayarhamah dan keluarga
ReplyDelete